Not only meets the eye

melihat dunia dengan gaya berbeza

Hijrah – Pencarian paradigma sains yang lebih total

Posted by Ahmad Fakhrurrazi Yahaya on December 7, 2011

Hijrah dan penantian sebuah anjakan

Tahun baru Hijri tiba lagi, seribu empat ratus tiga puluh dua tahun meninggalkan torehan sejarah agung di bumi gersang Arab. Nyata, derapan tapak kaki Nabi SAW bersama sahabat-sahabatnya telah menebarkan gegaran ke segenap belahan benua. Hayunan langkah kecil mereka itu disertakan dengan cita-cita yang amat besar serta strategi yang amat rapi untuk diteladani dan diambil inspirasi.

Hijrah di kala itu memaksa dunia untuk menerima satu anjakan. Baik anjakan paradigma mahupun strategi dalam mempercayai misi dan kebolehan Islam untuk membawa rahmat ke seluruh alam.

Islam mengajar untuk berhijrah dan beranjak ke tahap yang lebih baik. Islam itu sendiri datang mencabut akar sistem kepercayaan jahiliyyah dan membawa sistem kepercayaan dan kehidupan baru yang mengharmonikan akal dan jiwa. Kalimah syahadah itu sendiri kalimah keramat yang menggentarkan jiwa pembela kebatilan.

“Tiada tuhan yang disembah melainkan ALLAH. Muhammad itu utusan ALLAH”

Rub’I bin Amir mencengangkan tentera sebuah ‘tamadun’ yang sekian lama mendakap hidup yang fana:
Allah mengutuskan kami (orang-orang Islam), untuk:
memerdekakan manusia dari pengabdian sesama manusia kepada pengabdian kepada ALLAH SWT,
dari kesempitan dunia kepada keluasan akhirat,
dari kezaliman agama kepada keadilan Islam.

Imam Hassan Al-Banna mengungkapkan lafaz yang melorongkan kefahaman terhadap paradigma Islam yang seluas alam terbentang:
Islam adalah sistem hidup yang syumul (menyeluruh), mencakupi seluruh fenomena kehidupan.
Maka ia adalah negara dan tanah air atau kerajaan dan umat;
Akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan;
Kebudayaan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman;
Material dan kebendaan atau usaha dan kekayaan;
Jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah.
Sepertimana ia adalah aqidah yang sebenar dan ibadat yang sahih tanpa ada bezanya”

Anjakan paradigma

Saya tidak gemar menggunakan istilah ini. Penggunaan yang terlalu kerap akan membuatkan auranya tawar. Ikan bakar petai di Tanjung Lumpur, Kuantan, kalau selalu dimakan sudahnya akan membosankan juga. Sekali sekala pada waktu yang tepat, barulah nikmatnya menggetar jiwa! Penggunaan istilah yang tepat boleh mengharmonikan pemahaman, tetapi kadangkala boleh membawa kekeliruan yang berangkai andai tidak dicermati penggunaannya.

Istilah anjakan paradigma (paradigm shift) diperkenalan oleh Thomas S. Kuhn berkaitan dengan lapangan sains. Ya, lapangan sains yang empirikal sifatnya. Kedinamikan idea itu membolehkan aplikasinya dikembangkan dan disesuaikan ke dalam juzuk sains sosial dan sebagainya

Dalam buku The Structure of Scientific Revolutions, Kuhn mendakwa sains bukanlah berkembang melalui ‘linear accumulation of new knowledge’, tetapi melalui ‘periodic revolution’ yang dikenali sebagai ‘paradagim shift’.

Beberapa persoalan fundamental telah dianggap beres dikala aqidah dan mazhab Newton menjadi kiblat kepercayaan dunia sains dan alim ulama’nya. Namun, beberapa penemuan baru, terutama pada era sains moden abad ke-20 menimbulkan persoalan-persoalan yang sukar dibongkar mengikut kitab law of motion dan kitab gravity Newton. Kemudian, datang Einstein memecahkan hukum-hakam yang dianut lebih 300 tahun itu. ‘Break the rules’, kata Scott Thorpe.

Ianya umpama air yang tersekat dengan damai di sebuah empangan Newton. Air yang terus menerus bertakung tenang bertukar menjadi daya yang mengasak dan mendesak. Akhirnya benteng utuh berusia lebih 200 tahun itu diruntuhkan oleh Einstein. Media sering mengulas, ia adalah ‘a breakthrough’. ‘Paradigm shift’, ulah Thomas Kuhn. Anjakan paradigma, kata begitu ramai manusia tanpa memahami apa sebenarnya yang diperkatakan. Air ‘paradigma’ itu mengalir deras dan nyaman.  Namun kini, aliran itu seolah dihalang pula oleh sebuah lagi empangan – empangan Relativity.

Di satu empangan yang berdekatan, sebuah lagi mazhab sedang menampung air yang bergolak untuk meloloskan diri. Itulah mazhab quantum yang dilihat sukar sekali untuk dicocokkan dengan mazhab Einstein. Ulama-ulama sains fizik sedang berusaha mewujudkan mazhab baru – quantum gravity – untuk memecahkan kedua-dua tembok empangan dan menyatukan kedua-dua tampungan air tersebut.

Mazhab baru akan membawa paradigma baru terhadap sains fizik khasnya dan dunia amnya.

Perlu disedari bahawa walaupun lapangan ini sains fizik namanya, namun sifatnya mampu merungkai persoalan-persoalan falsafah dan mampu membawa kepada penerangan akan hakikat sebuah kejadian dari kaca-akal sains aqli.

Hakikat kejadian secara sains

Untuk menerangkan kejadian alam menurut hakikat kejadian yang sebenar adalah amat sukar. Kekuasaan Pencipta sangat nyata kuasanya, dan tiadalah layak untuk dinisbah hatta sekelumit dengan kemampuan makhluk yang dicipta.

Untuk menerangkan hakikat itu memerlukan satu pencerahan baru. Pencerahan yang tidak sekadar pembongkaran dan penemuan baru secara saintifik. Tidak juga sekadar semudah menempelkan penemuan aqli dengan dalil-dalil naqli – walaupun ianya bukanlah sesuatu yang mudah.

Pencerahan yang boleh menggabungkan elemen-elemen fizikal (yang boleh dilihat samada melalui mata kasar atau teleskop atau mikroskop) dan bukan fizikal (yang tidak boleh dilihat tetapi boleh dikesan seperti bunyi, gelombang atau masih belum dapat dikesan atau tidak dapat dikesan) – termasuk elemen metafizik, atau natural dan supernatural, atau sains fizikal dan sains hayat.

Pencerahan yang saya maksudkan adalah yang ringkas konsepnya tetapi syumuli aplikasinya. Metaphysics of biological quantum gravity contohnya.

Pencerahan yang paling atas pandang-alamnya (worldview).

Paradoks pemecahan juzuk sains

Pemecahan lapangan pengajian sains tulen kepada tiga substance asas – fizik, kimia, biologi – amat penting dan nyata memberi menfaat yang besar dalam bidang kajian menurut sistem rangkaan manusia.

Kontranya, ia amat menyukarkan produk sistem pendidikan itu untuk memahami kesepaduan antara ketiga-tiga elemen asas sains itu. Seolah-olah bermain dengan puzzle di sudut masing-masing tetapi tiada idea tentang keseluruhan gabar yang sedang dibentuk.

Apatah lagi untuk disepadukan dengan elemen-elemen yang metafizik atau ghaibiyyat atau ruh sifatnya.

Pemecahan tembok – anjakan paradigma dan sistem kepercayaan dunia sains – diperlukan.

Paradigma yang lebih total sifatnya, kalaupun bukan yang absolute.

Harus mencari dan menunggu.

p/s: Ulasan adalah pandangan seorang pra-amatur dalam bidang sains. Sekiranya ada kesilapan penggunaan istilah atau penerangan, pembetulan amat dialu-alukan untuk mengelak kekeliruan akumulatif.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: