Not only meets the eye

melihat dunia dengan gaya berbeza

Politik Kampus: Antara Idealism dan Aktivism

Posted by Ahmad Fakhrurrazi Yahaya on December 7, 2010

Muqaddimah

Immanuel Kant, tokoh yang mempelopori idea ‘Enlightenment’ yang membawa kepara era Renaissance di Eropah menyatakan motto bagi enlightenment ialah : “Have courage to use your own understanding!”. Melalui ungkapan ini, dapat difahami bahawa dua perkara asas telah mendasari kejayaan reformasi pencerahan Eropah iaitu; ‘kefahaman’ dan ‘keberanian’, atau dalam bahasa lain juga boleh disebut sebagai ‘idealisme’ dan ‘aktivisme’.

Mahasiswa merupakan anggota kepada sebuah masyarakat (civil society) yang terdiri didalamnya pelbagai institusi, kelompok manusia dan system kehidupan yang saling bergantungan (inter-dependent) antara satu sama lain. Mahasiswa juga merupakan anggota kepada sebuah sistem politik yang terdiri didalamnya elemen pemerintah (kerajaan), yang diperintah (rakyat) dan sistem pemerintahan. Keanggotaan mahasiswa dalam sistem-sistem ini bukanlah sekadar sebagai pemerhati yang pasif, tetapi berperanan secara aktif, mengikut stail tersendiri sesuai dengan status mereka sebagai kelompok mahasiswa yang berada di universiti.

Di dalam Al-Quran, ALLAH SWT telah menggariskan matlamat kewujudan manusia di atas dunia ini adalah sebagai ‘hamba’ (Surah Adz-Dzariyaat : 56) dan ‘khalifah’ (Surah Al-Baqarah : 30), yang berperanan untuk membimbing manusia dan seluruh sistem yang manusia hidup di dalamnya agar kembali kepada pengabdian total kepada ALLAH SWT.

Takrifan

Perkataan “politik” berasal daripada perkataan Greek iaitu “polis” yang bermaksud bandar, negara dan bijaksana. Politik kini digunakan dalam erti kata suatu ilmu memerintah yang diatur dan ditadbirkan oleh sesebuah pertubuhan siasah . Mengikut Dr Muhammad Abdul Qadir Abu Faris , siasah adalah kata terbitan bahasa Arab dari perkataan ‘saasa’ (سا س) yang bermakna penjagaan. Ahli siasah ialah orang yang memelihara urusan umat, memahaminya dengan kefahaman yang mendalam dan menyelesaikannya dengan pemikiran dan pandangannya yang betul.

Malik bin Nabi menyatakan politik berkaitan dengan penunaian kewajipan, ideology, wawasan pengetahuan masyarakat. Menurut beliau, politik adalah aktiviti untukmerubah bingkai kultur atau dalam kata lain;‘penciptaan budaya’. Dr. Zaki Najib Mahmud pula menyatakan politik aktiviti yang dapat mengubah kondisi social kearah yang lebih baik dan lebih utama.

Hassan Al-Banna mentakrifkan politik sebagai hal memikirkan tentang persoalan-persoalan internal mahupun eksternal umat. Sisi internal bermaksud mengurus persoalan pemerintahan, menjelaskan fungsi-fungsi, kewajipan dan hak dan mengawasi penguasa. Manakala sisi eksternal bermaksud memelihara kemerdekaan dan kebebasan bangsa dan membebaskan dari penindasan pihak lain.

Takrifan-takrifan ini memberi gambaran keluasan dan kepentingan politik, merentasi sempadan sempit politik kepartian yang memenjara pemikiran rakyat. Mahasiswa keluar dari kokun sempit pemahaman politik. Maka, seluas dan sepenting itu jugalah peranan politik yang harus dimainkan oleh mahasiswa di universiti.

Politik di Alam Universiti

Kehidupan di universiti merupakan proses transisi dari alam fantasi kepada alam realiti dan dari zaman remaja yang ke’kanak-kanak’an ke alam dewasa yang matang. Dari individu yang hanya tahu memikirkan tentang diri sendiri kepada individu yang cakna kepada ummah. Dari individu yang tidak dilengkapi sebarang kemahiran kepada individu yang memiliki pakej lengkap untuk dicampakkan ke medan tempur.

Dalam erti kata lain, universiti diibaratkan sebagai ‘kem latihan’. Peserta di dalam kem ini akan diprogramkan, dilatih, diasak, dibentuk dengan disiplin-disiplin tersendiri, ditiup dan dibakar dengan semangat perjuangan dan didedahkan sedikit demi sedikit tentang realiti cabaran kehidupan agar mereka disiapkan dengan segala bekalan yang diperlukan tatkala keluar ke medan tempur yang sebenar. Sebarang unsur dan elemen yang bisa menggoyahkan semangat juang, merosakkan kepaduan kerja berpasukan akan dibuang agar tidak menjadi virus dan barah yang bakal merosakkan generasi pelapis perjuangan

Universiti itu membawa konotasi ‘uni’, ‘verse’ dan ‘universe’, yang menggambarkan ruh yang sepatutnya hidup bersama sesebuah universiti. Konotasi ‘university’ itu sendiri adalah self-evident. Alam universiti adalah alam ilmu yang bersepadu, bukan sekadar bermatlamat utilitarian mana-mana bidang professional atau vokasional yang sempit untuk mendapat pekerjaan. Pembangunan intelek merangkumi matlamat yang lebih luas iaitu kesejahteraan kehidupan keseluruhannya.

Maka, kehidupan di univeristi bukanlah sekadar usaha untuk meraih segulung ijazah professional atau konvensional, tetapi adalah medan untuk belajar sesungguh hati dalam segenap aspek kehidupan.

Maka pembawaan politik di alam universiti juga harus mematuhi hukum dan proses ini. Alam universiti bukanlah segala-galanya dalam perjuangan, tetapi ia adalah salah satu fasa, entiti dan proses yang amat penting dalam menjamin konsistensi dan kompetensi perjuangan dari semasa ke semasa.

Idealisme dan aktivisme mahasiswa: satu sorotan sejarah

“Aku mahu dibaca!” – Multatuli

Sejarah politik mahasiswa tidak dapat tidak, wajib dibaca bersama dengan sejarah gerakan mahasiswa kerana gerakan mahasiswa menterjemahkan hasrat, impian, idealism dan aktivisme politik mahasiswa. Karya ‘Mahasiswa Menggugat’ oleh Muhammad Abu Bakar dan “Politik Kampus di Sebalik Tabir” oleh Mohd Shuhaimi Al-Maniri merupakan khazanah besar bagi mahasiswa yang merekodkan sejarah gerakan mahasiswa di Malaysia yang mengalami evolusi tersendiri dari satu era ke era yang lain.

Gerakan mahasiswa di Tanah Melayu mula dikesan sewaktu era pra-kemerdekaan. Pastinya corak gerakan mereka adalah kearah pembebasan Tanah Melayu dari penjajahan kolonial Inggeris. Namun, tidak ada rakaman sejarah yang benar-benar absah dan jelas tentang landskap gerakan ketika itu.

Kebangkitan api perjuangan mahasiswa mula membara pada era 60-an. Percikan semangat perjuangan pada ketika itu mendapat suntikan dari idealisme sosialis, yang terpengaruh dengan latar masyarakat setempat dan arus antarabangsa. Peristiwa berdarah 13 Mei 1969 juga sedikit sebanyak melibatkan arus gerakan mahasiswa yang bertembung dengan provokasi kaum oleh kerajaan.

Gerakan mahasiswa terus berkembang dan memuncak apabila masuk ke era 70-an. Zaman ini digelar sebagai ‘The Golden Era’ bagi gerakan mahasiswa tanah air. Klimaksnya ditoreh dalam peristiwa Demonstrasi Baling, Demontrasi Tasik Utara, demonstrasi anti-Tunku dan rampasan kuasa oleh mahasiswa di Universiti Malaya. Tidak kurang juga siri-siri demonstrasi dalam isu-isu antarabangsa seperti isu anti-Israel dan anti-Amerika dan isu umat Islam di Selatan Thailand. Kerajaan juga mula memberi perhatian yang serius yang membawa kepada penggubalan AUKU pada 1971 dan pindaan AUKU pada 1975.

Evolusi gerakan mahasiswa semakin menarik apabila memasuki era 80-an, iaitu era yang dikenali sebagai ‘Ledakan Ubudiyyah’. Idealisme sosialis dan nasionalis mula bertembung dengan idealism mahasiswa Islam yang semakin dominan. Gelombang kebangkitan Islamis pada ketika itu dikatakan juga mendapat momentum ledakan Revolusi Islam di Iran pada tahun 1979. Kaderisasi mahasiswa dan gerakan dakwah merupakan antara fokus mereka. Pada era ini juga, landskap gerakan mahasiwa Islam dan gerakan Islam di peringkat nasional telah mengalami perubahan orientasi dan strategi pasca kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO pada tahun 1982. Rentetan dari itu, Barisan Bertindak Mahasiswa Negara juga telah diasaskan pada tahun 1985/1986 diikuti penubuhan Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung pada 1989.

Lensa juga merakamkan gerakan pelajar pada era 1990-an, terutama period pasca pemecatan Anwar Ibrahim dari jawatan Timbalan Perdana Menteri. Gerakan mahasiswa telah bersuara sama lantang dan mendesak sama hebat bersama gerakan di peringkat nasional, termasuk bersama parti-parti politik pembangkang, menuntut kerajaan dan pihak-pihak yang berkenaan bertanggungjawab di atas pelbagai salah laku pentadbiran negara.

Apabila gerakan mahasiswa melangkah ke era millennium, coraknya mula berubah menjadi agak pasif. Ini kerana kerajaan telah melaksanakan pelbagai tekanan ke atas mahasiswa, temasuk menahan mahasiswa di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menakut-nakutkan mahasiswa. Markaz-markaz gerakan pelajar juga diserbu dan digeledah untuk membongkar maklumat kegiatan underground. Pemerhati dan pengulas politik Negara, termasuk bekas-bekas aktivis mahasiswa menyimpulkan, gerakan mahasiswa telah mengalami ‘zaman gelap’ dan ‘krisis identiti’ kerana terlalu dikaitkan dengan parti politik pembangkang dan mendapat tekanan yang amat dahsyat dari pihak pemerintah.

Namun, beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan, mahasiswa kembali mencari identity, merencana dan mengaktifkan rentak baru gerakan mereka. Penubuhan Parti Mahasiswa Negara untuk bertanding dalam PRU 2008 merupakan salah satu tindakan berani dan di luar jangkaan. Pasca PRU 2008 pula, doktrin ‘minda negarawan’ dan ‘pemikiran kerajaan’ telah membentuk landskap baru gerakan mahasiswa di peringkat nasional.

Sejarah ini dibentangkan untuk di analisis, membuktikan bahawa pada setiap era, mahasiswa mempunyai rentak gerakan yang berbeza, tetapi mengekalkan identity mereka sebagai anak muda yang sering digelar ‘the young angry man’. Walaupun kadang-kadang mahasiswa dikaitkan dengan parti politik pembangkang, tetapi sudah lumrah anak muda, mereka mensasarkan kerajaan sebagai subjek serangan utama menjadikan seolah-olah agenda mereka dibayangi pembangkang. Akan tetapi pada hakikatnya, gerakan anak muda ini memiliki identity sendiri iaitu berpaksikan semangat darah muda, mempunyai impian yang besar dan tidak berkepentingan,

Politik mahasiswa : Cabaran masa kini.

“A university has to be politically distant from the state, a university has also to be culturally close to the society; and third, a university has to be intellectually linked to wider scholarly and scientific values in the world of learning”. – Ali Mazrui.

Berdasarkan keinsafan terhadap matlamat kejadian manusia, pemahaman terhadap ruang lingkup dan kepentingan politik, paradigm yang mendasar terhadap kehidupan di universiti dan berpandukan sejarah gerakan mahasiswa, maka gerakan politik mahasiswa semasa perlu dicorak dan diterjemahkan semahunya.

Politik mahasiswa Islam haruslah meletakkan rmatlamat tertinggi untuk membawa manusia dan system-sistem di dalamnya, baik di dalam kampus mahupun dalam negara agar kembali kepada ALLAH SWT.
Politik mahasiswa haruslah berperanan sebagai anggota kepada sesebuah civil society
Politik mahasiswa haruslah berperanan sebagai third voice dalam sebuah system politik demokrasi.
Politik mahasiswa haruslah berada dalam ruang lingkup intelek sesuai dengan keberadaan di universiti.
Politik mahasiswa haruslah ada cita-cita tinggi dan murni, setinggi cita-cita Islam dan semurni hasrat penubuhan universiti itu sendiri.
Politik mahasiswa haruslah kreatif dan berani kerana universiti adalah medan ilmu dan latihan dan tanpa ilmu dan keberanian, latihan ini tidak akan berkesan membentuk trainees yang unggul.
Politik mahasiwa tidak harus takut dengan ancaman pihak pemerintah kerana tiada keunggulan dan kejayaan gerakan tanpa rintangan dan cabaran.
Politik mahasiswa harus ada wajah yang tersendiri kerana dengan wajah inilah masyarakat akan mengenali siapa dan apakah itu ‘gerakan mahasiswa’.
Politik mahasiswa harus membentuk dan melonjakkan idealism (termasuk ruh intelektualisme).
Politik mahasiswa harus mengaktifkan dan meluncurkan aktivisme.
Politik mahasiswa harus bijak mengadunkan antara ketulenan idealisme dan keagresifan aktivisme agar tidak tinggal mereka yang idealis tetapi tidak aktivis dan aktivis tetapi tidak idealis.

Penutup

Bukan semua mahasiswa harus memahami semua ini. Al-Quran berulangkali menekankan kejayaan kaum yang sedikit yang memahami dan berani. Sejarah yang sama yang diulang-tayang, bahawa perubahan dunia dimulakan oleh sekelompok manusia. Idea yang sama diambil oleh Malcolm Gladwell dalam menegaskan Law of the Few yang merebakkan kejayaan dalam sejarah dunia.

Maka golongan yang sedikit seperti andalah yang wajib menggalas cita-cita perjuangan ini. Dunia ini tidak boleh sekali-kali dibiarkan sepi oleh suara keramat mahasiswa. Mari kita toreh sejarah baru di bumi Malaysia!

“Tanpa keberanian, impian tidak akan menjadi kenyataan”
– iklan MILO

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: