Not only meets the eye

melihat dunia dengan gaya berbeza

Teori konspirasi dalam politik Malaysia

Posted by Ahmad Fakhrurrazi Yahaya on July 27, 2009

Pada zaman yang dicengkam oleh kapitalisme-materialisme ini, latar politik tempatan mahupun dunia dilihat seperti penuh dengan kekotoran. Dunia politik tidak pernah sunyi dari politiking dalaman, gossip dalam kelas tersendiri menyaingi gossip-gossip dalam bidang hiburan – termasuklah konspirasi-konspirasi kelas tinggi, mewujudkan atmosfera kotor dalam gelanggang politik dan membarahkan persepsi seolah-olah mereka yang berada dalam bidang politik ini sukar dipercayai.

Dendangan isu-isu seperti pembunuhan Altantuya, PKFZ, kes liwat, krisis kerajaan Perak, kerajaan perpaduan, kematian Beng Hock dan demontrasi pro-mansuh-ISA dan pro-ISA, terus-menerus mendedahkan konspirasi-konspirasi yang wujud di sebalik setiap tragedi. Atau mungkin lebih tepat bagi sesetengahnya: teori-teori tentang konspirasi – yang mungkin wujud dan mungkin tidak wujud.

Bagi konspirasi berfakta dari sumber yang absah, ia tiada masalah. Masalahnya adalah, membiakanya ramalan dan analisis politik tanpa fakta yang kukuh kerana bercambahnya sumber-sumber maklumat dan meningkatkan kesedaran politik di kalangan massa, tanpa adanya mekanisme kawalan maklumat dan keinsafan untuk menilai hujahan politik.

Teori-teori ini disuburkan lagi dengan pelbagai persoalan yang timbul dari kes-kes yang berlaku. Rakyat mendambakan penjelasan dari pihak-pihak yang berautoriti, akan tetapi tiada jawapan yang konkrit dibentang. Kalaupun ada, ianya masih diselubungi persoalan-persoalan yang tidak terungkai atau sengaja tidak dirungkaikan.

Bias : Dimensi lapuk dalam mendepani Age of Wisdom

Analisis-analisis politik yang kebanyakannya bias kepada sisi-sisi tertentu tersebarluas dalam internet, sesuai dengan era revolusi ICT yang melanda dunia. Fenomena ini sebenarnya membantutkan perkembangan minda yang sihat, yang tanpa kita sedar dunia sudah bersedia untuk mengalami gelombang revolusi seterusnya, rentetan dari limpahan maklumat tanpa sempadan ini.

Selepas dari ledakan revolusi pertanian, revolusi perindustrian dan revolusi informasi dan teknologi maklumat, teori revolusi seterusnya menyatakan dan menjangkakan, landskap dunia pada masa hadapan akan di-tentu-corak-atur-kan oleh keabsahan maklumat dan kebijaksanaan menilai maklumat, bukan lagi sekadar informasi manipulatif. Era ini bakal digelar sebagai Age of Wisdom.

Dengan mentaliti yang sedia ada, adakah rakyat kita sudah bersedia untuk berhadapan dengan gelombang revolusi dunia seterusnya? Atau, adakah ummah ini akan sekali lagi ketinggalan dalam perlumbaan menguasai minda manusia dan mengawal sistem dunia, setelah kita ketinggalan dalam arus revolusi-revolusi yang lepas?

Teori konspirasi, konspirator, provokasi, provokator dan iklim politik harmoni

Seluruh anggota masyarakat sivil (civil society) sepatutnya berusaha untuk mewujudkan atmosfera politik yang aman yang anggotanya menumpukan seluruh usaha untuk membangunkan ummah dan negara berbanding usaha meningkatkan sokongan terhadap sisi masing-masing.

Konspirator-kosnpirator berkonspirasi sama ada secara ofensif atau defensif – sama ada untuk kepentingan individu atau kolektif untuk sisi masing-masing. Selagi wujud sisi yang berbeza, maka provokator akan memperalatkan isu-isu seperti ini untuk menyerang atau bertahan, untuk kepentingan sisi mereka pula.

Dunia politik tidak akan harmoni selagi wujud individu-individu atau kumpulan-kumpulan yang membelakangkan kepentingan umum (maslahah ‘amah), dan mengutamakan kepentingan yang sempit sama ada untuk kepentingan peribadi atau kepentingan berasaskan bias dan sentimen tertentu.

Politik Malaysia : Realiti sekarang menuju masa depan

Saya tidak pasti, sama ada konspirasi-konspirasi yang wujud sama ada secara teori atau praktikal ini, mampu menyumbang ke arah pembentukan masa depan politik yang lebih baik di Negara kita. Masa depan yang saya maksudkan, bukanlah untuk kepentingan sisi-sisi tertentu sahaja, tetapi merangkumi ummah dan negara ini secara keseluruhannya.

Arena politik akhir-akhir ini nampaknya semakin kelam-kabut. Sekurang-kurangnya bagi saya, kalaupun anda tidak berpandangan begitu. Mungkin ada perkembangan positif di beberapa sudut seperti ketelusan pilihanraya, penubuhan suruhanjaya-suruhanjaya, keterbukaan ruang bersuara dan lain-lain. Namun, isu-isu yang berlaku ditafsirkan seolah-olah ada suatu percubaan reverse motion yang berlaku di sebalik perkembangan-perkembangan tadi, yang cuba mengekalkan status-quo dunia politik melalui konspirasi-konspirasi yang cuba dirahsiakan.

Di sebalik konspirasi yang berlaku, besar kemungkinan wujudnya individu atau team strategis yang merancang. Namun, manusia juga semakin bijak. Sukar untuk sesuatu strategi sulit itu kekal sulit. Maka, suburlah teori-teori konspirasi yang turut sama mencorakkan latar politik masa kini.

Andai realiti sebegini terus dikekalkan dalam usaha pembentukan masa depan ummah dan negara, saya berpandangan agak sukar untuk kita meraih iklim politik yang sihat berasaskan qawiyy dan amin yang ‘adil dan ihsan.

Usaha yang konsisten dan integratif perlu digembleng, dipikul bersama oleh setiap anggota masyarakat sivil ini, untuk mengembalikan integriti dunia politik. Dari politik kotor ke politik yang ihsan. Dari persepsi serong terhadap ahli politik kepada persepsi yang murni. Dari mentaliti sempit politiking politik kepartian kepada mentaliti negarawan yang menjadikan politik sebagai alat untuk mencapai mengamankan ummah, negara dan dunia.

Maka ingatlah pesan tokoh ranking nombor 1 dalam dikalangan manusia paling berpengaruh dalam sejarah dunia:

“Apabila diserahkan sesuatu urusan itu kepada bukah ahlinya, maka tunggulah saat kehancuran”
– Nabi Muhammad SAW

2 Responses to “Teori konspirasi dalam politik Malaysia”

  1. Mutiul Haq said

    a very good writing akhi…i’m very much persuaded of it!😀

  2. […] Namun, sekiranya manusia tidak bijak menilai keabsahan dan prioriti maklumat yang diterima, akibatnya generasi manusia akan terperangkap dalam timbunan dan limpahan maklumat manipulatif, yang sesetengah (atau kebanyakan?) darinya adalah ‘sampah sarap’. Selepas dari ledakan revolusi pertanian, revolusi perindustrian dan revolusi informasi dan teknologi maklumat, teori revolusi seterusnya menyatakan dan menjangkakan, landskap dunia pada masa hadapan akan di-tentu-corak-atur-kan oleh keabsahan maklumat dan kebijaksanaan menilai maklumat, bukan lagi sekadar informasi manipulatif. Era ini bakal digelar sebagai Age of Wisdom. – dipetik dari sini […]

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: